Monday, March 10, 2008

Tajol Rosli kunci pintu dan menangis



KEDIAMAN rasmi Menteri Besar Perak dikawal ketat oleh polis malah dikunci bagi menghalang orang ramai memasukinya di Ipoh, semalam.

IPOH 9 Mac – Kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam merupakan sesuatu yang di luar jangkaan banyak pihak terutama Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu dikatakan hanya mampu menangis di kediaman rasminya bersama penyokong dan pemimpin kanan UMNO negeri malam tadi.

Berita kekalahan demi kekalahan calon BN juga membuatkan beliau terkedu hingga enggan menemui orang ramai dan pihak media yang berkumpul di kediaman rasminya sejak pukul 8 malam.

Hasrat pihak media untuk mendapatkan reaksi dan ulasan mengenai kejayaan pembangkang juga terbantut apabila beliau tetap mengurung diri di dalam rumah tersebut.

Sehingga ke pukul 6 pagi ini, pihak media masih gagal mendapatkan sebarang komen daripadanya malah wartawan diminta beredar secara baik oleh penyokong-penyokong beliau.

Pihak media yang setia menunggu dan sanggup bersengkang mata akhirnya mengalah dan mengambil keputusan untuk beredar bagi melaksanakan tugasan lain.

Usaha mendapatkan komen daripada Tajol Rosli sehingga kini masih diteruskan tetapi malangnya rumah kediaman rasmi itu dikawal ketat polis malah telah dikunci bagi menghalang orang ramai dan media memasukinya.

Difahamkan, Tajol Rosli masih terkejut dan bersedih hingga enggan menemui mana-mana pihak bagi mententeramkan perasaannya. Beliau sebelum ini dilihat begitu yakin bahawa BN mampu sekurang-kurangnya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam, pembangkang berjaya membentuk kerajaan baru selepas menang 31 kerusi DUN manakala BN hanya mampu menguasai 28 kerusi.

Pembangkang turut menang di 11 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 13 kerusi.