Sunday, January 27, 2008

Kursus dan Demonstrasi Membuat Mee Kuning


Ipoh 27 Jan (Ahad) : Satu demonstrasi membuat mee kuning telah dianjurkan oleh PAS Kg Sri Klebang dan Squad BA, objektif program ialah untuk mendedahkan para peserta bagaimana untuk membuat mee kuning yang sekarang ini amat sukar untuk di dapati terutamanya keluaran bumiputera Islam. Program demonstrasi tersebut telah diadakan di Kampung Sri Klebang, dan telah menjemput seorang usahawan berjaya dalam pembuatan makanan Islam iaitu Tuan Syed Hisam Syed Hassan.

Penyertaan yang amat baik dan luar dari jangkaan, pihak penganjur terpaksa menambah lagi kerusi kerana penyertaan tersebut, ini menunjukkan masyarakat Kg Sri Klebang yang dahulunya fobia dengan parti pembangkang tetapi sekarang ini telah boleh menerimanya, satu perkembangan baik di dalam usaha Squad BA untuk memecah masuk ke kubu yang dikatakan "kubu kuat" UMNO.

Di samping menerangkan cara-cara membuat mee kuning, jenaka-jenaka ringan diselitkan oleh Tn. Syed dan menjadikan suasana amat mesra dan seronok. "Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur, kerana selama saya belum pernah didedahkan cara membuat mee ini dengan betul, dan sekarang lebih berasa yakin untuk membuatnya dan jika ada modal saya ingin mengeluarkan mee ini." kata Puan Rafidah iaitu salah seorang peserta yang hadir.

Di akhir program mereka telah mampu untuk menjamu hadirin dengan mee yang mereka usahakan walaupun tidak sampai 2 jam belajar cara-cara membuatnya, dengan kuah yang disediakan oleh Sdr Ramli selaku tuan rumah pada hari tersebut, pujian telah diberikan oleh para hadirin atas usaha membuat program ini. Dan cabutan nombor bertuah telah diadakan dan 6 buah mesin telah diberikan kepada kepada yang bertuah dan hadiah-hadiah telah disumbangkan oleh Imam Zul.

Di kesempatan yang amat terbatas itu Imam Zul telah memberikan sedikit ucapan dan intisari ucapannya ialah betapa pentingnya makan makanan yang baik dan halal, dengan ilmu yang ditunjuk ajar oleh pendemonstrasi di harap mereka tidak lagi membeli mee yang was-was pengeluarannya. -abudzar-