Friday, January 18, 2008

Menjelang pilihan raya: Umno Manjoi jaja beberapa projek kilat

Johari Jaafar
Wed | Jan 16, 08 | 12:17:21 pm MYT

IPOH, 16 Jan (Hrkh) - Menjelang pilihan raya umum ke-12 beberapa `projek kilat' akan dibina di kawasan Dun Manjoi bagi menarik undi daripada pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.

Antaranya Projek Cadangan Membina Gerai Rakyat Kampung Tengku Hussein, Mukim Hulu Kinta, daerah Kinta, yang dahulunya sudah lama `dijaja' oleh Umno kini mula dijadikan `projek pilihan raya' oleh Umno Bahagian Tambun.

Ini kerana papan tanda yang dahulunya tegak berdiri sebelum ini sudah lama dikeliling oleh semak samun sehingga ia menjadi tanda tanya kepada penduduk di sini bilakah projek tersebut akan dilakukan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Zairul Azrun zainal Abidin, ketika meninjau tapak cadangan projek berkenaan.

"Biasalah dekat dengan pilihan raya adalah pembinaan batu asasnya, semuanya hendak menarik perhatian pengundi," ujarnya.

Beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, kawasan semak samun tersebut telah dibersihkan dan diratakan. Satu lagi papan tanda baru didirikan di tempat yang sama.

Papan tanda yang baru tersebut jelas memamparkan tentang cadangan pembanguynan 13 unit rumah kedai dan kerja-kerja infrastuktur di atas tanah kerajaan Kampung Tenghu Hussein, Manjoi, Mukim Hulu Kinta dalam daerah Kinta.

Projek tersebut bakal dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang beralamat di Wisma Wan Mohammad, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, Perak.

Di samping itu terdapat lagi `projek pilihan raya' yang akan dijaja oleh Umno, iaitu pembinaan bangunan di tapak pasar awam Kampung Tengku Hussein dan juga pembinaan pasaraya Mydin yang akan dibina pada pertengahan tahun ini yang dikatakan untuk kemajuan penduduk Gugusan Manjoi.

Zairul mengingatkan para pengundi khussusnya di Dun Manjoi agar tidak mudah tertipu dan terpesona dengan 'janji-janji manis' Umno, sebaliknya membuat pilihan yang bijak pada pilihan raya umum ke-12 kelak. - mns